I made this widget at MyFlashFetish.com.

Selasa, 8 September 2009

♥ Kesan Negatif Bercinta ♥


Penyebab kepada berlakunya gejala kemurungan

Gejala kemurungan juga merupakan antara kesan perasaan cinta dalam kalangan remaja. Gejala kemurungan ini akan berlaku sekiranya hubungan cinta yang dijalin terputus di pertengahan jalan. Akibat daripada kekecewaan ini akan memberi tekanan kepada remaja seterusnya mengakibatkan berlakunya gejala kemurungan.

Berdasarkan penyelidikan yang dijalankan oleh Dr Ajif Narib, seorang penyelidik di Universiti Perubatan Carolina Selatan menyatakan bahawa gejala kemurungan seperti mood yang tidak baik, hilang motivasi dan selera makan ialah perkara biasa yang dialami berikutan putus cinta atau kematian orang tersayang.

Hasil penyelidikan ini juga menyatakan bahawa wanita berkemungkinan dua hingga tiga kali untuk mengalami kemurungan berbanding lelaki.
Laporan oleh saintis Amerika juga mendapati kekecewaan yang dirasakan wanita selepas berakhirnya hubungan romantik dengan pasangan masing-masing boleh memberi kesan kepada otak. Impaknya, ini akan menyebabkan penurunan mendadak dalam aktiviti sel otak dalam bahagian otak yang mempunyai kaitan dengan emosi, motivasi dan perhatian.


Peningkatan kes bunuh diri

Salah satu daripada kesan negatif cinta remaja ialah menyumbang kepada peningkatan kes bunuh diri disebabkan perasaan kecewa yang teramat apabila sesuatu perhubungan tersebut berakhir dengan kegagalan.

Statistik menunjukkan, bagi tempoh 15 tahun yang lalu, terdapat seramai tujuh hingga 12 orang daripada setiap 100,000 penduduk Malaysia mati kerana membunuh diri. Malah data yang dipetik sebuah badan bukan kerajaan (NGO) yang terlibat dalam usaha membantu menangani kes ini, mendakwa terdapat sekurang-kurangnya tujuh kes bunuh diri sehari di Malaysia.

Ramai di antara remaja yang sanggup membunuh diri terutamanya apabila cinta yang dijalin terputus di pertengahan jalan. Hal ini berlaku apabila remaja terbabit begitu taksub dengan cinta sehingga sanggup meletakkan cinta kepada seseorang mengatasi segala-segalanya. Sebagai contoh, akhbar tempatan ada melaporkan berkenaan cubaan bunuh diri oleh seorang anak gadis gara-gara kecewa hanya kerana dimarahi teman lelakinya.

Berdasarkan kes ini, dapat dibuat satu kesimpulan bahawa tahap keimanan dalam kalangan sesetengah anggota masyarakat muslim yang terlalu lemah dan rapuh sehinggakan alasan dan sebab yang remeh di jadikan sebab untuk menderhaka kepada Allah S.W.T.


Menyumbang kepada peningkatan kes remaja lari dari rumah

Selain itu, cinta remaja juga dilihat sebagai salah satu daripada penyumbang kepada peningkatan kes remaja lari dari rumah. Remaja lari dari rumah merupakan satu masalah yang baru di kalangan masyarakat kita hari ini.

Masalah ini menjadi satu gejala yang begitu sukar untuk dibendung malah semakin berleluasa dalam kalangan anak-anak mahupun pelajar sekolah.
Walaupun pelbagai langkah telah diusahakan oleh pihak-pihak tertentu namun masalah ini tetap berlaku.

Ketaksuban cinta remaja lebih-lebih lagi apabila cinta yang dijalin atas dasar suka sama suka ini mendapat tentangan oleh keluarga mampu mendorong remaja untuk nekad melakukan perbuatan yang di luar jangkaan iaitu lari dari rumah. Remaja perempuan pada hari ini begitu tegar lari meninggalkan rumah dan ibu bapa semata-mata untuk mengikut kekasih hati lebih-lebih jika hubungan cinta tersebut tidak direstui keluarga.

Berdasarkan statistik yang dikeluarkan oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, tiga punca utama remaja lari dari rumah ialah mengikut kekasih, pengaruh kawan dan keinginan untuk bebas. Sebanyak 6,270 kes dicatatkan sejak 2004 hingga Mei tahun ini. Polis Diraja Malaysia (PDRM) menyatakan bahawa, terdapat kes remaja lari mengikut teman lelaki yang membabitkan remaja perempuan seawal usia 10 tahun, manakala peringkat umur 14 dan 17 tahun mencatatkan kes paling ramai iaitu 4,097 orang.


Peningkatan kes seks luar nikah

Kajian akhbar i-Kon yang dijalankan ke atas 100 orang remaja di sekitar Kuala Lumpur dan Shah Alam, berusia lingkungan 15 tahun hingga 30 tahun menyatakan bahawa sebanyak:

-57 peratus remaja mengaku pernah bercium.
-69 peratus pernah berpeluk dengan teman istimewa
-80 peratus remaja berpegang tangan dengan teman istimewa

Hal ini jelas menunjukkan bahawa para remaja masa kini tidak mengendahkan lagi nilai tatasusila dan adat timur yang dipegang oleh masyarakat sejak sekian lama. Hubungan intim dengan pasangan bukan muhrim sudah menjadi kebiasaan dan bukan sesuatu yang menjadi larangan agama. Sikap liberal remaja ini sangat mengejutkan dan seharusnya membuka mata banyak pihak akan kesannya kepada institusi masyarakat khasnya.

Mengikut Tinjauan Seks Sejagat Durex 2004 yang membabitkan 350,000 responden dari 41 negara, seseorang remaja mula melakukan hubungan seks buat pertama kali antara usia 16 tahun dan 20 tahun atau purata usia 17.7 tahun. Secara purata di Malaysia, didapati remaja melakukan seks kali pertama pada usia 19.3 tahun berbanding 20 tahun pada 2001
.


Meningkatkan jumlah pengguguran haram

Kesan daripada perasaan cinta ini, para remaja cenderung menghalalkan apa yang haram dan menyebabkan sesuatu yang tidak sepatutnya terjadi akan berlaku. Para remaja yang terlanjur lalu hamil anak luar nikah cenderung mengambil jalan menggugurkan kandungan bagi mengelakkan masalah-masalah seperti malu, dipulaukan masyarakat, dan tekanan kerjaya. Menggugurkan kandungan dilihat sebagai jalan selamat bagi menyembunyikan kehamilan dan mengelakkan perasaan malu.

Di Malaysia, pengguguran adalah sesuatu yang diharamkan. Malah semua agama sama ada Islam, Kristian, Buddha, Hindu, dan lain-lain mengharamkan pembunuhan dalam kandungan atau pengguguran.

Selain dari pengguguran, para remaja juga sanggup membuang bayi yang telah dilahirkan semata-mata untuk menutup malu. Tempat-tempat pembuangan bayi lazimnya di dalam tong sampah, di belakang pasaraya, di surau, di dalam semak, di dalam tandas, di perhentian bas dan sebagainya.

Di US, dua badan utama iaitu Federal Centers for Disease Control (FCDC) dan Alan Guttmacher Institute (AGI), telah mengumpulkan data kes pengguguran anak yang menunjukkan bahawa jumlah nyawa yang dibunuh dalam kes pengguguran di US iaitu hampir 2 juta kes. Kes penggugguran janin tersebut lebih banyak dari jumlah nyawa manusia yang dibunuh dalam mana-mana peperangan dalam sejarah negara itu.



Tiada ulasan:

Catat Ulasan